Sunday, June 8, 2008

PruBSN laksana kempen antarabangsa takaful

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Firma usahasama antara Prudential Plc. dan Bank Simpanan Nasional (BSN), Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) sedang giat melaksanakan kempen pemasaran perniagaan takaful secara agresif ke peringkat antarabangsa.

Menurut Timbalan Pengurus Besar II Bahagian Perkhidmatan Sokongan Perniagaan BSN, Norazian Ahmad Tajuddin, bagi melancarkan kempen pemasaran luar negara itu, PruBSN telah menubuhkan Unit Perniagaan Mata Wang Asing Antarabangsa (ICBU).

“Penubuhan unit itu yang merupakan sebahagian daripada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) adalah selaras dengan inisiatif negara untuk mengembangkan peranan Malaysia sebagai Hab Kewangan Islam Antarabangsa,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Prudential dan BSN merupakan satu daripada empat buah konsortium terdiri daripada institusi kewangan, pengurus dana dan syarikat insurans tempatan serta asing yang diberikan lesen untuk menjalankan perniagaan takaful oleh Bank Negara Malaysia pada akhir Januari lalu.
Prudential Plc. adalah syarikat insurans kedua terbesar di United Kingdom.

Bank Simpanan Nasional (BSN) ialah bank simpanan milik kerajaan yang telah pun beroperasi selama 32 tahun. BSN ditubuhkan pada 5 Disember 1974 bagi mengambil alih peranan Bank Simpanan Pejabat Pos.

Mengulas lanjut, Norazian berkata, pada masa yang sama, PruBSN turut berusaha untuk mengembangkan perniagaan insurans serta memperkukuhkan kedudukannya di kalangan syarikat-syarikat utama dalam industri yang sama di negara ini.

Tambah beliau, bagi mencapai mencapai sasaran pertumbuhan pelanggan sekitar 10 peratus pada tahun hadapan, BSN yang memiliki sejumlah 7.8 juta pemegang akaun dengan simpanan melebihi RM 8 billion akan melaksanakan inisiatif-inisiatif bari bagi menarik minat pelanggan.

Antaranya ialah menaik taraf fizikal cawangan BSN di seluruh negara dengan peruntukkan sebanyak RM25 juta bagi tahun 2008 hingga tahun 2012 yang merangkumi penggabungan dan pembukaan cawangan baru yang lengkap dengan prasarana terkini, jelas Norazian.

Ditanya mengenai tinjauan industri perbankan, beliau menambah, pihaknya menjangka kebanyakan bank tempatan akan memberi penekanan terhadap penawaran produk yang inovatif dan penambahbaikan di dalam aspek perkhidmatan pelanggan.

Bagi BSN pula, bank itu akan memberi tumpuan kepada penonjolan sebagai sebuah bank komuniti sejajar dengan moto baru korporat iaitu BSN, Bank Komuniti Anda, ujarnya.

Di samping itu, BSN turut mempunyai rancangan strategik bagi tahun 2008 hingga tahun 2012 yang merangkumi pelbagai lagi aspek penambahbaikan dalam usaha memastikan bank tersebut berkembang menjadi organisasi yang dinamik dan mencatat kadar pertumbuhan mampan.

No comments: